SIJIL DAN TRANSKRIP AKADEMIK

  • Tuntutan Sijil Ijazah dan Diploma

    1. Sijil dan Transkrip Akademik boleh diambil selepas selesai semua urusan pemulangan pakaian akademik (mengikut tarikh yang telah ditetapkan oleh pihak kolej universiti).

    2. Bagi graduan yang tidak berkesempatan mengambil Sijil dan Transkrip Akademik atau tidak menghadiri Majlis Konvokesyen, ianya boleh dituntut dalam tempoh tiga (3) bulan selepas tarikh Majlis Konvokesyen di Seksyen Peperiksaan dan Pengijazahan, Bahagian Pengurusan Akademik (BPA). Pihak Kolej Universiti tidak akan bertanggungjawab jika berlaku kerosakan/ kehilangan dan sebagainya ke atas Sijil dan Transkrip Akademik sekiranya tidak dituntut dalam tempoh yang ditetapkan di atas. 

    3. Sila kemukakan Resit Rasmi KUIS (bayaran graduasi) dan slip pemulangan jubah graduan apabila berurusan mendapatkan Sijil dan Transkrip Akademik.

    4. Graduan boleh mewakilkan orang lain untuk mengambil Sijil dan Transkrip dengan cara mengisi dan memuat turun Borang Surat Kuasa Pengambilan Sijil dan Transkrip Akademik (Authorisation of Scroll and Academic Transcript Collection) serta mengemukakan salinan kad pengenalan graduan dan juga wakil dan resit bayaran graduasi. 

    5. Sijil dan Transkrip Akademik juga boleh dimohon (kaedah pengeposan) melalui Borang Permohonan Skrol dan Transkrip Akademik BPA_PEP_42 (Pindaan 1) dengan menyertakan salinan kad pengenalan, resit rasmi KUIS (bayaran graduasi) dan alamat terbaru beserta wang pos sebanyak RM10.00. Pihak Kolej Universiti tidak akan bertanggungjawab atas kehilangan/ kerosakan Sijil dan Transkrip Akademik yang dituntut melalui pos.
    6. Para graduan perlu menjelaskan yuran pengajian tertunggak dan yuran graduasi sebelum dibenarkan menyertai Majlis Konvokesyen serta mengambil Sijil dan Transkrip Akademik. (Peraturan Akademik KUIS Pindaan 2011: 6.3 (d) dan (e))
    7. Bagi graduan yang tidak menghadiri Majlis Konvokesyen, Sijil dan Transkrip Akademik tidak diposkan kepada mereka kecuali setelah membuat permohonan menggunakan Borang Permohonan Skrol dan Transkrip Akademik BPA_PEP_42 (Pindaan 1) dan mematuhi perkara 6.2, 6.3, 6.4 dan 6.5 di atas. Nota : Borang permohonan Skrol dan Transkrip Akademik BPA_PEP_42 (Pindaan 1) boleh diperolehi di laman web KUIS www.kuis.edu.my
  • Kehilangan Sijil Ijazah dan Diploma

    1. Polisi KUIS telah menetapkan bahawa Sijil Ijazah/ Diploma dan Transkrip Akademik cuma dikeluarkan sekali sahaja kepada graduan dan tiada sebarang penggantian dibuat sekiranya dokumen ini hilang atau rosak. Oleh itu para graduan dinasihatkan menyimpannya dengan baik dan selamat serta membuat salinan yang mencukupi.

    2. Sekiranya Sijil Ijazah/ Diploma atau Transkrip Akademik hilang atau rosak, pihak Kolej Universiti akan mengenakan caj sebanyak RM50.00 (bagi Sijil Ijazah/ Diploma) dan RM20.00 (bagi Transkrip Akademik) berserta satu laporan polis untuk cabutan Sijil Ijazah/ Diploma atau Transkrip Akademik. 

    3. Cabutan Sijil Ijazah/ Diploma atau Transkrip Akademik boleh dikeluarkan dalam tempoh satu (1) minggu selepas menerima permohonan melalui Borang Permohonan Skrol dan Transkrip Akademik yang terdapat di Seksyen Peperiksaan dan Pengijazahan, Bahagian Pengurusan Akademik (BPA).

  • Kesilapan Maklumat dalam Sijil Ijazah/ Diploma dan Transkrip Akademik

    Sebaik sahaja menerima Sijil Ijazah/ Diploma dan transkrip akademik, setiap graduan perlu menyemaknya untuk mengenalpasti sebarang kesilapan. Sekiranya terdapat kesilapan maklumat dalam Sijil Ijazah/ Diploma atau Transkrip Akademik ianya akan diganti baru dengan syarat kesilapan itu berpunca daripada KUIS dan hendaklah dilaporkan secara bertulis dalam tempoh tiga (3) bulan selepas tarikh konvokesyen. Selepas tempoh ini, Sijil Ijazah/ Diploma dan Transkrip Akademik tidak lagi dikeluarkan.